JEMPOL 26 Ogos - Penantian selama 31 tahun untuk mendapatkan hak tanah akhirnya menjadi kenyataan bagi 494 peneroka Felda Lui Selatan Satu dan Dua, dekat sini selepas mereka menerima geran tanah masing-masing hari ini.
Penyerahan geran tanah itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Padang Awam Felda Lui Selatan, dekat sini, hari ini.
Menurut seorang peneroka, E. Sannasy, 68 dari Felda Lui Selatan Satu, dia amat gembira dan berterima kasih di atas pemberian geran itu yang kini menjadikan dirinya pemilik sah selepas menunggu sekian lama.
''Apabila saya terima sahaja geran itu tadi, saya tidak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaan gembira saya. Usaha saya selama ini akhirnya berbaloi dan kerana Felda hari ini saya memiliki geran tanah sendiri.
''Sedih juga tadi apabila teringat saat bersusah payah ketika baru menyertai Felda. tetapi hari ini semuanya sudah berubah malah Felda sangat maju," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jelasnya, kini tanahnya sedang dalam proses penanaman semula dan dia bersyukur apabila Felda terus menghulurkan pelbagai bantuan.
''Untung jadi peneroka, pelbagai bantuan kami terima. Walaupun Felda sudah maju dan dikenali kami tetap dibantu sehingga ke hari ini. Antara bantuan yang diterima adalah bantuan hari raya, durian runtuh dan bantuan pembesaran rumah," ujarnya.
Tambah seorang lagi penerima, Mohd. Nabe Pich, 33, dia terpaksa mengambil geran mewakili ibunya, B.Ramtam Bebee 57, yang meninggal dunia baru-baru ini.
''Ibu meninggal dunia ketika Ramadan yang kedua akibat masalah paru-paru. Kini saya tinggal di rumah ibu di Felda Lui Selatan Satu dan membantu menjaga kebun.
''Agak sedih juga kerana ibu tidak dapat hadir untuk memegang sendiri geran ini. Saya akan menjaga geran ini dengan baik kerana inilah bukti hasil titik peluh ibu membesarkan saya,"ujarnya.
No comments:
Post a Comment