Wednesday 23 October 2013

Orang Asli perlu buang sikap malu



DAHLIA Permid (kiri) melakukan aktiviti bersama pelajar ketika menyampaikan ceramah dalam program Tranformasi Orang Asli Dalam Arus Perdana di Sekolah Kebangsaan Sungai Sampo, dekat Jempol, baru-baru ini. 
 
JEMPOL 18 Okt. - Pelajar Orang Asli diminta membuang sikap malu dan segera merebut peluang agar mereka mampu bersaing dengan rakan-rakan lain di luar komuniti masyarakat itu.

Penceramah Program Transformasi Orang Asli Dalam Arus Perdana, Dahlia Permid berkata, sikap malu yang masih menguasai masyarakat Orang Asli adalah antara punca golongan tersebut memilih untuk terus tinggal di kampung walaupun sedar pelbagai peluang tersedia buat mereka di luar.

Beliau yang juga Pegawai Kemajuan Orang Asli Temerloh, Pahang memberitahu, perasaan malu yang tidak bertempat perlu dihapuskan dalam usaha mencapai kejayaan di kalangan pelajar masyarakat tersebut.

"Ada kes pelajar tidak mahu ke sekolah walaupun kerajaan sudah menyediakan sekolah yang dekat dengan kawasan perumahan mereka. Di sini ibu bapa perlu memainkan peranan dan sedar masa depan anak mereka boleh musnah tanpa pendidikan," katanya ketika menyampaikan ceramah dalam Program Transformasi Orang Asli Dalam Arus Perdana di Sekolah Kebangsaan Sungai Sampo, dekat sini baru-baru ini.
Menurutnya, para pelajar Orang Asli sepatutnya menjadikan anak Orang Asli yang telah berjaya sebagai model yang perlu dicontohi oleh mereka.

"Lahir sebagai anak Orang Asli bukan alasan mereka tidak boleh maju. Malah saya sendiri merupakan anak Orang Asli dan pernah merasai pelbagai kesukaran untuk menimba ilmu.

"Ibu bapa juga perlu mengambil peluang mengikuti Kelas Dewasa Ibu Bapa Murid Orang Asli dan Pribumi (Kedap) agar mereka tidak tercicir dan ketinggalan. Bila ibu bapa mempunyai ilmu, mereka boleh bersama-sama membantu anak mengulangkaji pelajaran di rumah," ujarnya.
 

No comments: