Oktober 23rd, 2013 by Najib Razak
Saya sedar, kos sara hidup terus menjadi suatu
isu yang amat penting kerana ia melibatkan kehidupan kita secara
langsung. Malah, cadangan berkenaan kos sara hidup merupakan antara yang
terbanyak disalurkan oleh orang ramai melalui laman web mikro
#Bajet2014 baru-baru ini, dan ianya telah disampaikan kepada Kementerian
Kewangan untuk dipertimbangkan selanjutnya.
Kerajaan sentiasa peka dengan setiap keluhan rakyat.
Justeru pelbagai inisiatif telah diambil di bawah naungan Program
Transformasi Kerajaan dan Transformasi Ekonomi, dalam menangani isu
kenaikan kos sara hidup, ekoran daripada ketidaktentuan ekonomi global.
Antara inisiatif yang disambut baik oleh rakyat
setakat ini adalah pembukaan 99 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), di
lokasi-lokasi strategik seluruh negara. Kerajaan turut merancang untuk
menambah lagi jumlah KR1M, agar lebih ramai rakyat dapat menikmati
pembelian barangan keperluan pada harga rendah. Program Menu Rakyat
1Malaysia (MR1M) juga telah mendapat sambutan yang baik. Ternyata ramai
rakyat Malaysia gembira dengan inisiatif membantu rakyat mendapatkan
makanan berkualiti dengan harga yang murah.
Manakala, pengenalan Klinik 1Malaysia juga merupakan
salah satu usaha kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan
berkualiti dengan bayaran berpatutan. Setakat ini, sebanyak 238 buah
Klinik 1Malaysia telah dibina di serata negara, di mana 22 daripada
klinik-klinik ini dilengkapi dengan perkhidmatan doktor.
Usaha ini telah memberi manfaat kepada masyarakat
apabila lebih daripada 9 juta rakyat telah menikmati kemudahan Klinik
1Malaysia. Kerajaan turut merancang untuk membuka lebih banyak
klinik-klinik seperti ini, di kawasan-kawasan padat penduduk demi
menepati janji-janji dalam manifesto Barisan Nasional (BN), semasa
Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu.
Selain daripada kesihatan, pembangunan IT perlu
dititikberat dalam usaha membina masyarakat celik IT dan mampu berdaya
saing di pentas global. Atas faktor ini, RM150 juta telah diperuntukkan
untuk membina 100 buah Pusat Internet 1Malaysia, di bandar-bandar utama
seluruh negara. Selain itu, kerajaan juga sedang berusaha untuk
mengurangkan fi perkhidmatan jalur lebar sehingga 20%, selaras dengan
apa yang telah dijanjikan dalam manifesto PRU13.
Soal menangani kos sara hidup sentiasa menjadi agenda
utama kerajaan BN. Oleh yang sedemikian, Pusat Jagaan 1Malaysia telah
disediakan untuk meringankan beban ibubapa bekerja. Semoga operasi pusat
jagaan yang diperkenalkan di pejabat kerajaan dan syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) ini, akan turut dipelopori oleh syarikat-syarikat swasta
di masa akan datang.
Seperti juga yang telah dijanjikan dalam manifesto
BN, kerajaan akan mula mengurangkan harga kereta sebanyak 20% hingga 30%
secara berperingkat. Kerajaan mensasarkan pengurangan hutang isirumah
rakyat melalui penurunan harga kereta secara beringkat dan terancang
ini.
Usaha untuk meringankan beban rakyat tidak terhad
setakat langkah-langkah yang telah diperbutirkan di atas sahaja. Banyak
lagi cara yang bakal diperkenalkan atau ditambahbaik, untuk melestarikan
usaha memastikan kehidupan rakyat sentiasa selesa dan terjamin. Sila
ikuti pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini untuk mengetahui
langkah-langkah susulan yang bakal dilaksanakan.
SUMBER : http://www.1malaysia.com.my/
No comments:
Post a Comment