Friday 4 October 2013

Sidang DUN Belia Negeri Sembilan Pertama 4/10/2013

 



SEREMBAN – Negeri Sembilan menjadi negeri pertama melaksana Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

Presiden Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan (MBNNS), Wan Salwati Abdullah berkata, persidangan itu rentetan Rancangan Pembangunan Belia Fasa 1 yang mahu lebih banyak suara belia diketengahkan dan diambil peduli untuk berhadapan saingan global.

“Persidangan DUN Belia ini adalah platform yang akan membahaskan isu belia meliputi pelbagai sektor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam sesi hari ini, sebanyak 36 wakil dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama 30 anggota yang dilantik daripada pelbagai sektor profesional menjalani sesi latihan dan taklimat persidangan yang disampaikan Setiausaha MBNNS, Mohd. Kama Kahamuzakir Kamarudin.

Dalam pada itu, wakil sektor masyarakat Orang Asli, Nur Azimah Abdullah, 27, memberitahu, antara perkara yang akan dibangkitkan ialah aspek peningkatan hidup golongan tersebut.

“Saya telah mendengar keluhan golongan muda dan tidak tahu landasan mana hendak bersuara. Melalui Persidangan DUN Belia ini, saya pasti menyuarakan keinginan mereka termasuk menuntut supaya diadakan perkhidmatan WiFi percuma dalam kampung Orang Asli,” katanya.

Dalam masa sama, beliau akan mengemukakan usul menubuhkan Koperasi Belia Orang Asli peringkat negeri supaya masa hadapan mereka dalam sektor perniagaan akan lebih terjamin.

“Saya mahu budaya, adat dan kehidupan dalam desa dibawa keluar ke bandar supaya rakyat dapat sama-sama menghargai kehidupan Orang Asli, walaupun mereka akan berhadapan kejutan budaya,” ujarnya.
 
Perwakilan yang mewakili sektor guaman, Mohd. Fasha Musthafa, 24, berkata, antara yang akan dibahaskan kelak ialah keciciran penuntut universiti berbanding mereka yang mempunyai kemahiran untuk memperoleh peluang lebih baik dalam pasaran pekerjaan.

“Saya mahu usulkan supaya penuntut universiti ini diberikan latihan kemahiran semasa belajar supaya dapat berhadapan saingan pasaran kerja yang lebih kompetitif,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli DUN Belia Rahang, Zaharruddin Abd. Majid, 37, berkata, ahli dewan dan perwakilan akan membahaskan ucapan dasar Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam persidangan itu dan diharap dapat membawa resolusi terbaik untuk mengangkasakan belia.

– Utusan Malaysia

No comments: