Wednesday 23 October 2013

Pelajar antara tiga ditahan terlibat 10 kes curi motosikal

TUKIMAN Seriman (tengah) melihat sebahagian motosikal dan komponen yang dirampas selepas sidang akhbar di IPD Jempol, semalam. 

 JEMPOL 18 Okt. - Polis menahan seorang pelajar sekolah menengah bersama dua rakannya di tiga lokasi berbeza di daerah ini pada 9 Oktober lalu, sekali gus menyelesaikan 10 kes curi motosikal jenis Honda EX5 di sini yang komponennya dilerai sebelum dijual bagi tujuan lumba haram.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Tukiman Seriman berkata, dua remaja berusia 17 tahun itu ditahan hasil siasatan dijalankan ekoran laporan kehilangan motosikal jenis itu sejak Jun lalu. "Salah seorang daripada remaja yang ditahan itu merupakan pelajar sebuah sekolah menengah. Pelajar ini kita tahan di rumahnya dekat Bandar Seri Jempol, manakala rakannya tidak bersekolah dan sudah bekerja.

 "Polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 20 tahun, dipercayai rakan kepada dua remaja terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, di sini hari ini.

 Ujar Tukiman, hasil penahanan remaja dan lelaki berkenaan, polis menemukan semula tujuh buah motosikal yang dilaporkan hilang, disembunyikan di beberapa kawasan sekitar daerah itu. "Daripada tujuh buah motosikal itu, hanya empat buah masih dalam keadaan baik manakala yang lain sudah terlerai. Polis percaya, beberapa komponen motosikal ini telah dijual bagi tujuan lumba haram," ujar beliau.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 378 (A) Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

Sementara itu, dalam satu perkembangan lain, Tukiman berkata, polis telah menahan seorang pemuda berusia 25 tahun di Kampung Bayai dekat sini kerana menyimpan selaras senapang buatan sendiri dan sebutir peluru hidup jenis senapang patah. "Suspek telah ditahan pada pukul 6.30 petang di rumahnya, 12 Oktober lalu. Senjata api itu ditemukan tersimpan dalam sebuah bengkel kenderaan dan dipercayai bagi tujuan memburu," ujarnya. Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat 1971).

No comments: